DUA PENEROKA DIBERKAS CURI KELAPA SAWIT
DUA PENEROKA DIBERKAS CURI KELAPA SAWIT
KOTA TINGGI, JOHOR - Kegiatan mencuri kelapa sawit di Felda Sungai Mas, Bandar Penawar dekat sini sejak bulan lalu berjaya ditangani selepas dua peneroka ditahan polis kemarin.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, kedua-dua peneroka itu ditahan selepas pihaknya menerima laporan kejadian itu jam 4.30 petang kelmarin.
"Pihak polis menerima aduan satu kejadian curi buah kelapa sawit di Blok 12, Felda Sungai Mas sebelum dua lelaki tempatan berusia 39 dan 41 tahun berjaya ditangkap.
"Polis juga merampas 41 tandan buah kelapa sawit seberat tiga tan berharga kira-kira RM2,700 dan sebuah lori yang digunakan dalam jenayah tersebut," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Rampasan tersebut dianggarkan berjumlah RM25,000.
"Siasatan mendapati kedua-dua suspek juga peneroka. Ini adalah kejadian kedua berlaku di kawasan berkenaan melibatkan suspek yang sama. Kejadian pertama dan kedua berlaku selang dua bulan," katanya.
Kedua-dua suspek kini direman selama tiga hari hingga esok untuk membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sumber: UTUSAN ONLINE
Post a Comment for "DUA PENEROKA DIBERKAS CURI KELAPA SAWIT"